WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk memberikan komitmen sebanyak AS$1 bilion (RM4.4 bilion) setahun kepada program Feed the Future bagi meningkatkan pengeluaran makanan global, lapor akhbar Arab News, kelmarin.
Melalui inisiatif Feed the Future, Washington akan bekerjasama dengan negara di seluruh dunia untuk membangunkan tanaman dan benih lebih berdaya tahan khusunya terhadap perubahan iklim.
Penolong Setiausaha Hal Ehwal Ekonomi dan Perniagaan AS, Ramin Toloui berkata, perubahan iklim menjadi punca utama bekalan makanan dunia terjejas, namun diburukkan lagi akibat perang Rusia-Ukraine serta sekatan Barat terhadap Moscow.
“AS akan memberi komitmen sebanyak AS$1 bilion setahun untuk program ini.
“Washington juga menggalakkan negara-negara di seluruh dunia untuk meningkatkan pengeluaran baja yang terjejas akibat konflik di Ukraine,” Kata Toloui.
Menurut beliau, AS telah menjanjikan dana AS$2.5 bilion (RM11 bilion) dalam bantuan kemanusiaan global untuk menangani krisis makanan.
Kepada petani AS dan pengeluar makanan global lain, Washington akan menyalurkan pembiayaan berjumlah AS$11 billion (RM48 bilion) bagi menerajui usaha menangani kesan buruk perubahan iklim terhadap pengeluaran makanan.
Di Asia Barat pula, AS bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan termasuk Arab Saudi untuk menangani impak krisis makanan di rantau itu khususnya di negara seperti Yemen dan memberikan bantuan kepada pelarian Syria.
Beliau juga berkata, Washington sedang bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan antarabangsa untuk membantu mengurangkan kesan krisis makanan terhadap golongan miskin.
“Semua negara di Asia Barat perlu memainkan peranan dalam usaha menyelesaikan krisis makanan dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mencapai pengeluaran dan bekalan makanan yang mapan,” kata Toloui.
Mengenai isu ketidakupayaan Ukraine untuk mengeksport bijirinnya ke pasaran global kerana perang dengan Rusia, Toloui berkata, kerajaan AS sedang bekerjasama dengan Kiev untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kita akan mencari jalan bagi membantu pelabuhan-pelabuhan utama di Ukraine kembali dibuka semula supaya penghantaran bekalan makanan ke seluruh dunia dapat disambung semula.
“AS akan terus menyokong penamatan segera konflik antara Rusia dan Ukraine,” tambahnya. – Agensi