KULIM – Seorang wanita terkejut menemui seekor ular sawa dalam keadaan kekenyangan dipercayai selepas menelan kambing di sebuah kandang di Kampung Kuala Nau, Labu Besar di sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pengadu berusia 25 tahun itu memaklumkan dia terdengar bunyi bising kambing dalam kandang milik ahli keluarganya di belakang rumah.
Katanya, dia kemudian memeriksa kawasan kandang tersebut sebelum menemui reptilia sepanjang lima meter dengan berat kira-kira 80 kilogram.
“Dia menemui ular sawa yang kekenyangan dipercayai setelah menelan kambing di dalam kandang tersebut.
“Pengadu memaklumkan kandang itu menempatkan 30 ekor kambing dan mengadu tiga ekor haiwan ternakan itu termasuk seekor anak kambing hilang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular berkenaan.
“Ular sawa itu dibawa ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE