SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyarankan umat Islam di negeri ini untuk menunaikan kewajiban membayar zakat dengan mentaksir sendiri jumlah yang perlu dilunaskan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, sehubungan dengan itu LZS melancarkan Bulan Taksir Zakat (BTZ) dalam usaha dakwah dan mendidik umat Islam membayar zakat dengan taksiran yang lebih tepat.
“Kita memilih bulan Jun sebagai inisiatif untuk membudayakan taksiran zakat agar tanggungjawab zakat tidak dilupakan. Seiring dengan jumlah harta yang dimiliki supaya ibadah itu dilakukan dengan sempurna.
“Taksiran zakat tersebut bukan terhad kepada zakat harta tetapi zakat-zakat lain juga,” katanya selepas Majlis Pelancaran BTZ oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Mohd. Sabirin berkata, beliau berharap dengan pelancaran BTZ tersebut sasaran LZS untuk mengutip zakat berjumlah RM1.05 bilion tercapai tahun ini.
Katanya lagi, menerusi kempen BTZ tersebut, pengeluar zakat yang memuat turun aplikasi Zakat Selangor dan membuat taksiran dan pembayaran zakat berpeluang menyertai peraduan Jom Taksir Zakat untuk memenangi hadiah menarik.
“Bagi memudahkan pembayaran zakat dan tidak membebankan pembayar, pihak LZS turut memperkenalkan kemudahan terkini pembayaran zakat secara ansuran melalui perkhidmatan debit terus dari akaun pembayar zakat dengan kerjasama LZS dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta InfaqPay,”katanya.
Informasi berhubung kempen BTZ akan sentiasa dikemaskini di saluran rasmi LZS iaitu portal jom.zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor. – KOSMO! ONLINE