fbpx

Siti akui bukan ibu sempurna, pernah terfikir perlahankan karier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERPAKSA membahagikan masa antara kehidupan berkeluarga dan kerjaya, Siti akui 'penat' tetapi sedar ada tanggungjawab besar yang dipikulnya ketika ini.

PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui pernah terdetik untuk memperlahankan kerjaya seninya demi memikirkan masa bersama keluarga terutama anak-anak.

Bercakap kepada Kosmo!, penyanyi berusia 43 tahun itu berkata, ada ketika dia perlu keluar bekerja seawal Subuh dan pulang pada waktu malam ketika dua orang anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa sudah tidur.

“Saya pernah terdetik untuk memperlahankan kerjaya seni demi keluarga terutama anak-anak. Ada waktu saya perlu keluarga bekerja seawal Subuh dan balik waktu malam. Anak-anak pun sudah tidur.

“Saya rasa kasihan lebih-lebih lagi terhadap Afwa yang masih kecil. Afwa pun sudah pandai merajuk dan tidak mahu lepaskan saya. Jadi saya rasa bersalah,” katanya.

Bagaimanapun, ujar pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu, selain memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga ada tanggungjawab lain sebagai majikan kepada pekerja-pekerjanya.

Justeru, Siti sedaya upaya cuba membahagikan masa sebaik mungkin antara kerjayanya sebagai penyanyi dan juga usahawan dengan tanggungjawab di rumah sebagai isteri dan ibu.

“Saya adalah seorang ibu bekerjaya yang ada tanggungjawab terhadap pekerja-pekerja saya. Jadi saya akan cuba bahagikan masa sebaik mungkin.

“Jika bulan ini saya sibuk menguruskan perniagaan, bulan seterusnya saya akan fokus pada nyanyian. Jadi saya dapat bahagi-bahagikan masa.

“Saya pun sudah berbincang dengan mana-mana pihak sama ada dalam bidang perniagaan atau hiburan supaya jadual saya tidak dibuat terlalu padat agar ada masa untuk bersama keluarga,” jelasnya.

Siti yang ditemui ketika sidang media Queen Of The Night di Menara Berkembar Petronas semalam juga memberitahu, sekurang-kurangnya dia akan memperuntukkan masa selama tiga hari seminggu untuk berada di rumah dan meluangkan masa bersama anak-anak.

“Aafiyah sudah faham kalau saya pakai cantik-cantik, dia tahu saya akan keluarga bekerja sama ada membuat persembahan pentas atau menjalani sesi fotografi.

“Dia (Aafiyah) lagi suka kalau saya pakai baju tidur. Maksudnya saya akan berada di rumah. Tapi alhamdulillah, Aafiyah anak yang matang dan cepat faham kalau saya jelaskan sesuatu padanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Percayalah itu turut mengakui dirinya bukanlah seorang ibu yang sempurna kerana masih banyak lagi kekurangan yang perlu dipelajarinya.

“Saya bukanlah ibu yang sempurna. Banyak lagi kekurangan yang perlu saya perbaiki. Saya juga masih lagi belajar. Kalau ikutkan, ketar juga kalau saya tidak ada pembantu untuk menguruskan dua orang cahaya mata.

“Tapi alhamdulillah, saya ada pembantu yang boleh tolong saya tengok-tengokkan Aafiyah dan Afwa. Saya rasa lega dan boleh buat kerja dengan tenang.

“Kalau tidak ada mereka (pembantu), mungkin saya boleh lelah kerana terlalu penat dan tidak cukup tidur,” jelasnya.

Untuk rekod, Siti berkahwin dengan Datuk Khalid Mohd. Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4, dan Muhammad Afwa yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI