fbpx

Satria Dewa: Gatotkaca bakal jengah ke pawagam Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM adiwira ini bakal ditayangkan di Malaysia bermula Julai depan.

PETALING JAYA – Filem adiwira yang diinspirasi daripada kisah legenda Indonesia, Satria Dewa: Gatotkaca bakal memasuki pawagam tempatan Julai ini selepas tayangan perdana di negara republik itu Khamis lalu.

Menurut Pengarah Urusan Horizon FIlm Entertainment, Mohd Shahir Sulaiman, filem yang diangkat daripada siri kisah Gatotkaca ini merupakan karya segar dan berbeza terutama dari segi jalan cerita serta lakon layarnya.

“Filem ini menerima sambutan luar biasa di Indonesia dan saya yakin, peminat filem tempatan terutama mereka yang gemarkan filem adiwira serta aksi pasti tidak sabar menonton Satria Dewa Gatotkaca.

“Malah barisan pelakon yang ada antaranya Rizky Nazar dan pelakon Indonesia bertaraf Hollywood, Yayan Ruhian menjadikan naskhah Satria Dewa: Gatotkaca ditunggu-tunggu oleh semua.

“Kita rumpun yang sama. Berkongsi akar budaya, adat dan warisan. Kerana itu, cita rasa juga tidak jauh beza,” katanya.

Satria Dewa: Gatotkaca yang diterbitkan Satria Dewa Studio berkisarkan Yuda lakonan Rizky mencari pembunuh bersiri yang telah mengambil nyawa ibunya sendiri, Arimbi (lakonan Sigi Wimala) dengan bantuan rakan-rakannya.

Dalam pencarian tersebut, Yuda mula sedar dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan menggunakan kelebihan itu untuk melindungi orang-orang yang tersayang serta mencari dalang pembunuhan bersiri itu.

Tidak hanya di Malaysia, Satria Dewa Gatotkaca juga bakal ditayangkan di Amerika Utara apabila Well Go USA bertanggungjawab mengedarkan filem tersebut di situ.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Doris Pfardrescher meluahkan rasa teruja dan gembira dengan kerjasama yang dijalinkan bagi memasarkan filem adiwira itu.

Sementara itu, Naib Presiden (Operasi) Satria Dewa Studio, Mochtar Sarman juga menyambut baik usaha dua syarikat pengedaran tersebut untuk menayangkan Satria Dewa: Gatotkaca.

“Mendapatkan apresiasi dari negara-negara luar sungguh luar biasa. Semoga melalui filem ini, adiwira Indonesia juga boleh ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI