MILAN – Legenda Chelsea, Gianfranco Zola percaya penyerang The Blues, Romelu Lukaku akan kembali menemui sentuhan bersama Inter Milan memandangkan kedua-dua pasukan sudah mencapai kata sepakat menerusi status pinjaman.
Selepas hampir setahun meninggalkan Inter untuk menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan £97.5 juta (RM525.72 juta), pemain antarabangsa Belgium itu kembali ke San Siro pada jendela perpindahan musim panas.
Difahamkan, Inter perlu membayar £6.9 juta (RM37.18 juta) untuk pinjaman semusim dengan gaji Lukaku akan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan tersebut selepas dia bersetuju dengan potongan sehingga 40 peratus.
“Lukaku sudah beberapa kali menyatakan keinginan untuk kembali ke Inter kerana dia dapat bermain dengan baik. Bagaimanapun, segala urusan perpindahan itu sangat rumit untuk dilaksanakan.
“Jika Lukaku dapat memenuhi keinginannya untuk pulang ke Inter, saya percaya dia boleh menampilkan aksi berbeza. Dia berdepan banyak kesukaran pada saingan musim lalu,” kata Zola.
Sebagai rekod, hubungan Lukaku dengan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mula renggang selepas dia secara terbuka mengkritik taktikal pengendali dari Jerman itu selain berulang kali menyatakan keinginan pulang ke Itali.
Kepulangan Lukaku ke Chelsea boleh dianggap gagal memandangkan dia langsung tidak menunjukkan prestasi setimpal dengan nilai yang dibayar Chelsea bagi mendapatkan khidmatnya. – AGENSI