fbpx

Polis ingatkan penyokong tidak bawa suar ketika menonton bola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSLAN KHALID

SEREMBAN – Penyokong pasukan bola sepak yang menghadiri perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini diingatkan untuk tidak membawa barang terlarang terutamanya suar dan senjata berbahaya.

Ingatan tersebut termasuklah untuk aksi di antara Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC yang bakal berlangsung pada 25 Jun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, penyokong seharusnya menjaga kelakuan mereka ketika menonton perlawanan bola sepak di stadium dan penggunaan suar merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Lebih baik memberi tepukan dan lagu semangat kepada pasukan, saya tidak nampak menggunakan suar boleh menaikkan semangat pasukan kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Sementara itu, Ruslan memberitahu, ketika perlawanan di antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 Mei lalu, tiga orang lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun telah ditahan selepas didapati berkumpul dan membakar sebatang bahan api disyaki suar.

Tambah Ruslan, ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan, beberapa lelaki telah bertindak agresif dan telah menendang anggota polis yang menjalankan pemeriksaan sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera.

“Sebanyak tiga tangkapan dibuat ke atas tiga lelaki berusia 20 hingga 24 tahun. Kesemua tangkapan telah dituduh pada 13 Mei lalu dan dijatuhkan hukuman denda RM1,500 dan penjara dua bulan penjara.

“Ia bagi kesalahan di bawah Seksyen 152 Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menghalang penjawat awam. Bagi kesalahan dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kes masih dalam perbicaraan dan kes akan disebut semula pada 4 Julai hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI