BENTONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain memastikan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disiapkan dengan secepat mungkin, Kementerian Pengangkutan diminta memastikan harga tambang pengangkutan itu berpatutan dan tidak membebankan pengguna.
Beliau berkata, isu berkaitan tambang itu perlu diberi perhatian memandangkan terdapat pihak cuba menyebarkan fitnah seolah-olah harga tambang ECRL berkenaan melebihi tambang pesawat.
“Ia (projek ECRL) dijangka beroperasi pada Jun 2027 dan ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat dan efisien ke Pantai Timur.
“Jadi saya meminta Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan seperti kadar tambang perkhidmatan KTM ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) yang mesra rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian permulaan pengorekan terowong ECRL dengan kaedah Mesin Pengorek Terowong.
Ismail Sabri hari ini melancarkan mesin pengorek terowong (TBM) pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekali gus menandakan bermulanya kerja pengorekan terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer.
Pentauliahan mesin TBM pertama dengan diameter 8.98 meter itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Projek ECRL memandangkan mesin canggih buatan China itu adalah yang terbesar bagi kerja-kerja rel di Asia Tenggara .
Mesin yang direka khas untuk kegunaan dalam keadaan batuan keras itu akan digunakan untuk menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi untuk menghubungkan Bentong di Pahang dengan Gombak di Selangor.
Pada kapasiti pengorekan purata antara 400 meter dan 600 meter sebulan, mesin dengan berat 1,600 tan dan sepanjang 266 meter itu dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun setengah hingga tiga tahun untuk melengkapkan penembusan Terowong Genting yang sepanjang 16.39 kilometer, menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia Tenggara apabila siap dibina kelak.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, projek jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer bernilai RM50.27 bilion merentasi empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu merupakan satu pencapaian bersejarah negara.
Katanya, tahap kemajuan projek berimpak tinggi itu telah siap sebanyak 30 peratus sehingga Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 seterusnya beroperasi pada 2027.
Sementara itu beliau berkata, pembinaan terowong berkembar genting sepanjang 16.39 kilometer akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau ini.
“Pembinaan terowong berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan jambatan darat atau ‘landbridge’ bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE