SHAH ALAM – Seorang pesara swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.7 juta.
Bagaimanapun tertuduh K. Suranderan, 60, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Helina Sulaiman.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa melupuskan wang RM1,685,543.27 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun beberapa bank milik empat buah syarikat, tiga individu serta tertuduh sendiri, termasuk akaun kad kredit dengan nilai terendah sebanyak RM11,398 manakala nilai tertinggi ialah RM516,480.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Klang antara 14 November 2019 hingga 29 Mac 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti atau RM5 juta atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap semua pertuduhan.
Namun tertuduh yang diwakili peguam K.Renuka dan V. Ayasamy memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu kerana mempunyai tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit ‘panic attack’ (serangan panik) yang menyebabkannya tidak stabil. Mohon satu jumlah jaminan yang munasabah diberikan,” kata pihak pembelaan.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 19 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE