KOTA BHARU – Seorang pemandu lori yang cuba terjun dari kren yang berada di tingkat 28 sebuah tapak projek perumahan di Lembah Sireh di sini selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya di Chabang Empat, Tumpat kelmarin direman tiga hari.
Perintah reman yang bermula hari ini terhadap suspek yang berusia 27 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa di Mahkamah Majistret di sini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perintah reman itu dilakukan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan yang merupakan tapak projek pembinaan.
Menurutnya, permohonan reman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kes mencederakan isteri dan ibu mentuanya akan dijalankan di Mahkamah Majistret Tumpat selepas tempoh reman kes pertama tamat pada Sabtu ini.
Terdahulu, suspek dipercayai lembut hati untuk turun dari tingkat 28 selepas keluarganya memujuk dengan membawa bekalan nasi berlauk ke tapak projek perumahan itu.
Sebelum menyerah diri, anggota balai bomba dan penyelamat Kota Darul Naim dan Kota Bharu mengambil masa empat jam bermula pukul 11 pagi hingga pukul 3 petang untuk memujuk suspek.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian seorang wanita dan ibunya ditikam dengan dua bilah pisau di sebuah rumah di Chabang Empat, Tumpat kira-kira pukul 6.35 petang kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini mendapati, isteri suspek yang berusia 20-an mengalami retak dan luka pada bahagian kepala, patah dua jari selain luka di beberapa bahagian anggota badan.
“Ibu kepada wanita berkenaan yang berusia 60-an pula luka pada bahagian kepala akibat ditikam menantunya dengan pisau.
“Siasatan awal mendapati kes tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara suspek dan isterinya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Difahamkan, suspek melarikan diri selepas menikam dua ahli keluarganya itu sebelum bersembunyi di tapak projek perumahan tersebut.- KOSMO! ONLINE