SEBERANG PERAI – Pengeluaran buah durian tahun ini amat memberangsangkan terutama Musang King meskipun keadaan cuaca tidak menentu melanda Pulau Pinang dan Perak sejak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, keadaan itu menyebabkan harga jualan bagi buah durian Musang King turun sehingga RM35 sekilogram berbanding sebelum ini dijual sekitar RM50 sehingga RM70 sekilogram.
“Sebelum ini, kita menjangkakan pengeluaran buah durian untuk musim kali ini adalah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan faktor cuaca.
“Namun, jangkaan tersebut meleset kerana kita dapati (pengeluaran durian) banyak di pasaran dan dijual pada harga lebih murah,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Penang Fama Fest 2022 di sini hari ini.
Katanya, meskipun tiada data pengeluaran durian yang diperoleh ketika ini namun menerusi lawatan yang dijalankan sekitar Pulau Pinang dan Perak mendapati hasil pengeluaran raja buah itu adalah begitu memberangsangkan.
“Hasil lawatan yang dilakukan mendapati pengeluaran durian kali ini banyak dan dijual pada harga berpatutan lebih-lebih lagi durian jenis Musang King,” katanya. – KOSMO! ONLINE