LONDON – Bekas ketua jurulatih Mesir, Hassan Shehata menimbulkan kontroversi apabila melontarkan kritikan pedas kepada bintang Liverpool, Mohamed Salah apabila menyifatkan dia tidak mempunyai magis bersama skuad kebangsaannya.
Salah berdepan dua kekecewaan besar bersama Mesir apabila tewas pada aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) kepada Senegal selain turut gagal membantu negaranya layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar selepas tewas kepada lawan yang sama.
Penggempur utama Liverpool itu berjaya memenangi empat trofi domestik di England selain menjulang gelaran Liga Juara-Juara, tetapi gagal membawa aura kejayaan itu bersama-samanya untuk skuad Mesir.
Shehata yang berjaya membantu Mesir meraih tiga gelaran AFCON antara 2006 hingga 2010 percaya Salah sepatutnya memberikan sumbangan yang lebih ketika turun bersama skuad Mesir.
“Salah adalah seorang pemain yang hebat, dia melakukan segala-galanya di luar Mesir dan menjadi salah seorang bintang besar.
“Bagaimanapun, dia gagal melakukannya bersama Mesir, dia sepatutnya memberikan lebih untuk Mesir berbanding apa yang diberikan kepada kelabnya,” katanya.
Salah yang meledak 45 gol dalam 83 penampilan bersama Mesir memberi bayangan untuk bersara dari pentas antarabangsa pada awal tahun ini. – AGENSI