MENU fusion atau menu gabungan merupakan menu yang menggabungkan hasil asimilasi unsur-unsur dan tradisi budaya yang berbeza.
Ia memainkan peranan dalam inovasi pelbagai masakan di dunia sejak tahun 1970-an.
Hidangan fusion yang cukup sinonim di negara ini adalah gabungan hidangan ala Barat yang berasal dari Amerika Syarikat yang digabungkan dengan hidangan dari Timur.
Gabungan menu dari negara-negara di Eropah seperti Portugal dan Asia adalah menu fusion yang sudah lama wujud namun jarang didengari.
Menyedari hakikat itu, seorang usahawan tempatan kemudian mewujudkan sebuah restoran yang menggabungkan menu Eropah dan Asia pada hidangannya.
Terletak di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, restoran yang diberi nama sebagai Memorie Cafe itu sesuai buat mereka yang mahu mencuba gabungan menu dua benua itu yang sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Memorie Cafe, James Thum, 44, berkata kesemua menu yang dihasilkan adalah diinspirasikan daripada memorinya ketika membesar dan juga gabungan menu Eropah dan Asia yang unik.
“Tidak ramai yang tahu bahawa menu gabungan daripada Eropah dan juga Asia sudah lama wujud di negara ini namun ia masih belum menempa nama atau popular di peringkat global.
“Juadah sebeti tart telur Portugis dan ikan bakar Portugis misalnya adalah merupakan antara menu yang menggabungkan citarasa Eropah dan Timur.
“Malah, gabungan ini juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan kepada orang ramai,” ujarnya.
Antara juadah yang disajikan di premis itu termasuk ikan bakar dengan sambal Portugis iaitu sejenis sambal yang dihidangkan bersama sayur bendi, Devil Curry Chicken yang merupakan juadah kari ayam dan kentang yang dihidang bersama roti dan Prawn Bostador iaitu hidangan udang yang dimasak bersama cili dan buah keras.
Bagi juadah pencuci mulut pula, Memorie Cafe yang dibuka sejak 2016 itu cukup terkenal dengan juadah tart telur Portugis yang menggabungkan kerangupan pastri bersama rasa manis pada intinya.
Malah, sejak ditubuhkan, produk tersebut merupakan menu paling laris dan paling cepat habis di Memorie Cafe.
Jelas Thum, tart telur Portugis yang juga merupakan menu kegemarannya itu mempunyai 88 lapis pastri dan dibakar sehingga garing.
Inti kustard telurnya yang berlemak dan manis juga merupakan tarikan utama menu itu, menjadikan ia menu paling mendapat sambutan.
Bagi seleksi minuman pula, Thum menyediakan beberapa seleksi minuman panas dan sejuk namun tarikannya terletak pada seleksi minuman tempatan.
“Kami turut menyajikan seleksi minuman tempatan seperti the tarik dan kopi kampung buat pengunjung yang mungkin mahu menggamit memori minum di kedai kopi bersama datuk dan nenek mereka ketika kecil.
“Bagi seleksi minuman tempatan, Cham iaitu campuran teh dan kopi merupakan menu wajib cuba dan menjadi menu signatur di sini memandangkan kami menggunakan lima jenis teh berbeza yang menghasilkan satu rasa yang unik dan tidak boleh diperolehi di mana-mana kedai lain di negara ini,” ujar Tham.
Memorie Cafe dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.