GUA MUSANG – Seorang lelaki meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas sebatang pokok kelapa setinggi 12 meter di Felda Aring 1 di sini hari ini.
Mangsa, Zaharuddin Ramli, 47, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.47 pagi oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian bersama bomba dan polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi membantu menurunkan mangsa itu kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.
Katanya, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari balai bomba itu.
“Semasa tiba di lokasi kejadian kira-kira sejam kemudian, terdapat seorang lelaki dilihat tersangkut di atas pokok kelapa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bomba seterusnya melakukan operasi menurunkan mangsa menggunakan tangga untuk memanjat pokok sebelum lelaki itu diturunkan menggunakan kaedah sambungan tali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, Mohd. Arifuddin Akif, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE