BEBERAPA minggu ini, kes jangkitan harian Covid-19 di Malaysia masih merekodkan jumlah di bawah 3,000, namun perlu diingatkan agar orang ramai tidak mudah berasa selesa.
Setakat semalam, lebih 16,131,200 individu dewasa telah menerima tiga dos vaksin iaitu sekurang-kurangnya lengkap satu dos penggalak Covid-19.
Bagaimanapun, seperti mana saranan pihak kerajaan dalam menggalakkan pengambilan dos penggalak kedua bagi meningkatkan imuniti di dalam badan adalah sewajarnya dilakukan oleh orang ramai.
Perkara itu berikutan negara masih berisiko untuk menerima pelbagai jenis varian baharu yang berbahaya termasuk subvarian Omicron, iaitu subvarian BA.5 dan satu BA.2.12.1
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar sehubungan itu mengingatkan agar orang ramai perlu sentiasa berjaga-jaga meskipun pelbagai kelonggaran telah diberikan kerajaan dalam tempoh fasa peralihan ke endemik.
“Pengambilan dos penggalak kedua amat digalakkan terutamanya kepada golongan rentan dan sering terdedah kepada risiko jangkitan.
“Sebagai peringatan bersama, risiko jangkitan masih ada termasuk kehadiran varian baharu selain imuniti badan seseorang boleh berkurang disebabkan faktor masa atau keadaan kesihatan individu,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Zainal tidak menolak kemungkinan keperluan orang ramai mendapatkan dos penggalak kedua kerana setiap vaksin mempunyai tempoh hayat selain bergantung kepada ketahanan badan individu itu sendiri.
“Tiga dos vaksin yang ada sekarang mungkin cukup mungkin juga tidak kerana ketahanan setiap orang berbeza.
“Jadi untuk lebih pasti dan mendapatkan perlindungan yang cukup ialah dengan mengambil dos penggalak kedua,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Malina Osman berkata, terdapat golongan tertentu yang memerlukan dos penggalak kedua kerana tidak semua golongan memerlukannya dalam tempoh terdekat ini.
“Pada masa ini, keutamaan adalah untuk mereka yang berisiko tinggi memandangkan potensi untuk mereka kemungkinan dijangkiti dan mendapat jangkitan teruk adalah tinggi sekiranya berlaku badai baru jangkitan berlaku.
“Untuk kelompok yang lain, keputusan sama ada perlu divaksin keseluruhan masyarakat bergantung pada pola dan keterukan jangkitan secara umum,” jelasnya.
Tambah Dr. Malina, sekiranya keadaan jangkitan semasa tidak serius, pengambilan suntikan dos penggalak lebih dikhususkan buat golongan berisiko seperti mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik.
“Andai mutasi tidak serius, tiada kesan terhadap sistem perkhidmatan kesihatan, suntikan dos penggalak besar kemungkinan dikhaskan untuk golongan berisiko tinggi sahaja, sama seperti indikasi vaksin influenza,” kongsinya.