fbpx

Kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ tingkat pasaran produk PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalaluddin (tengah) melancarkan kempen 'Jadikan Halal Pilihan Utama Anda' dengan kerjasama Lulu Hypermarket & Department Store dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) di CapSquare, hari ini. - FOTO: AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Lulu Hypermarket & Department Store dan Halal Development Corporation (HDC) melancarkan kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ bertujuan membantu syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kempen ini bukan sahaja membantu industri PMKS, malah menggalakan para pengguna Keluarga Malaysia untuk memilih produk yang ‘halalan toiyiban’ untuk kegunaan harian.

“Kempen ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula 22 April hingga 22 Julai nanti. Ia membabitkan gabungan dua program utama iaitu peningkatan kebolehpasaran dan penjenamaan digital produk Halal PMKS 2022.

“Pelbagai promosi dan harga menarik ditawarkan bermatlamat untuk meningkatkan capaian dan prestasi jualan, serta mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara sekali gus meningkatkan keupayaan pengeluaran produk halal tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ dengan kerjasama Lulu Hypermarket & Department Store dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) di CapSquare, hari ini.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, pihak (HDC) juga telah mengeluarkan beberapa insentif bagi membantu usahawan PMKS untuk bangkit semula bagi meningkatkan pasaran produk halal di pasar raya-pasar raya besar.

“Sebanyak 77 syarikat dikenalpasti telah mencatatkan peningkatan menerusi hasil jualan dari hari ke hari. Justeru, Inisiatif ini menunjukkan perkembangan yang positif,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, Jalaluddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pembekal PMKS terbaik yang mencapai prestasi jualan yang tertinggi.

Tambahnya, pihaknya berharap semoga kempen ini dapat meningkatkan eksport halal negara, selain daripada menarik lebih banyak pelabur ke dalam industri halal dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI