TOKYO – Sekurang-kurangnya lapan kapal perang Russia dan China dikesan di perairan berhampiran Jepun minggu ini dalam satu lagi isyarat bahawa Moscow dan Beijing meningkatkan tekanan ke atas Tokyo berhubung isu Ukraine serta Taiwan.
Saluran berita CNN melaporkan kelmarin bahawa Kementerian Pertahanan Jepun sedang memantau lima kapal perang Russia yang diketuai kapal pemusnah, Admiral Panteleyev. Kapal-kapal perang itu belayar di Selat Tsushima yang memisahkan Jepun dan Korea Selatan.
Kelima-lima kapal tersebut berada berhampiran pulau-pulau milik Jepun selama seminggu, kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan akhbar.
Selain itu, sekurang-kurangnya dua kapal perang China dan sebuah kapal bekalan dikesan di Kepulauan Izu kelmarin, kira-kira 500 kilometer ke selatan Tokyo.
Sebuah kapal itu dikenal pasti sebagai Lhasa iaitu kapal pemusnah Jenis 55 yang merupakan antara kapal perang terkuat milik Beijing.
Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, armada kecil tersebut berada di perairan berhampiran Jepun sejak 12 Jun lalu.
“Ini adalah pameran kekuatan yang jelas oleh Russia dan China,” kata Profesor Madya James Brown dari Universiti Temple di Tokyo.
Tokyo bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tentera laut Russia dan China itu menyertai latihan tentera atau menyelaras aktiviti ketenteraan lain. – Agensi