MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag membuat keputusan untuk terus mengekalkan pemain pertahanannya, Harry Maguire, namun mengintai peluang untuk mendapatkan beberapa pemain pertahanan baharu sekiranya berjaya menjual Eric Bailly, Phil Jones dan Axel Tuanzebe.
Masa depan Maguire di Old Trafford menjadi subjek perbualan selepas mempamerkan prestasi buruk musim lalu sehingga pelantikannya sebagai kapten pasukan menjadi isu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain.
Ten Hag dikatakan bersedia untuk memastikan Maguire kekal untuk digandingkan bersama Raphael Varane dan Victor Lindelof, tetapi tidak menjanjikan bahawa dia akan terus menyarung lilitan lengan sebagai kapten pasukan itu.
Pengurus interim United sebelum ini, Ralf Rangnick pernah mencadangkan bahawa jawatan ketua pasukan sepatutnya dipilih berdasarkan undian para pemain, namun Ten Hag enggan menjadikan perkara itu sebagai suatu yang perlu difikirkan secara serius.
Maguire kehilangan posisi dalam kesebelasan utama ketika di bawah kendalian Rangnick dan dia bakal berdepan saingan sengit untuk musim depan sekiranya United berjaya membawa masuk beberapa pemain baharu di posisi pertahanan.
Ten Hag dilaporkan sedang mempertimbangkan peluang untuk mendapatkan dua bekas pemainnya di Ajax, Jurrien Timber dan Lisandro Martinez selain pemain pertahanan Villarreal, Pau Torres juga berada dalam radar United. – AGENSI