KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak yakin pemain import baharu, Mahmoud Al-Mardi serta Sanrawat Dechmitr mampu menjelmakan kesan positif buat pasukan itu pada saingan Piala AFC.
Menurutnya, kedua-dua pemain itu memiliki kelebihan yang mampu mendatangkan impak kepada pasukan meskipun belum sepenuhnya diuji dalam mana-mana perlawanan kompetitif bersama KDA FC.
“Masing-masing perlu diberi ruang kerana masih baharu dengan pasukan. Kita tidak boleh menjangkakan Sanrawat serta Mahmoud akan serasi sepenuhnya dalam tempoh singkat.
“Namun, daripada apa yang saya perhatikan, kedua-dua pemain ini mampu membantu pasukan bagi berdepan Piala AFC kali ini,” katanya.
Kehadiran Mahmoud yang boleh diharap beraksi di posisi tengah dan sayap kiri mampu menambah kreativiti pasukan dalam menjana serangan ketika seorang lagi pemain import, Dechi Marcel tampak cukup ligat menggerakkan ‘enjin’ pasukan.
Sanrawat pula yang memiliki 29 kap bersama pasukan kebangsaan Thailand turut tidak boleh diremehkan ketika pemain itu cukup kaya dengan pengalaman dalam aksi di peringkat ASEAN.
Ditanya sama ada kejayaan JDT serta pasukan kebangsaan melakar sejarah untuk mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta Piala Asia baru-baru ini menambah tekanan pasukan selaku wakil Malaysia, Aidil berkata, perkara itu tidak perlu dijadikan perbandingan.
“Jangan lupa bahawa JDT dan Malaysia masing-masing beraksi di laman sendiri dengan sokongan penuh penyokong di stadium.
Berita berkaitan: Aura Harimau Malaya bakal iringi KL City FC – Akram Mahinan
“Kita pula berkelana dan beraksi di gelanggang lawan.
“Apa pun, ia tidak boleh dijadikan alasan. Saya sudah berpesan kepada pemain supaya mengambil peluang ini bagi membuktikan kemampuan mereka.
“Insya-Allah, kami akan berikan yang terbaik nanti,” katanya.