LONDON – Pelumba utama pasukan Ferrari, Charles Leclerc enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha bergelar juara dunia Formula Satu (F1) musim ini meskipun jurang mata dengan pendahulu, Max Verstappen yang mewakili Red Bull semakin besar.
Sebagai rekod, Verstappen ketika ini gah mendahului carta pendahulu kategori pelumba apabila mengutip 175 mata selepas mengharungi sembilan perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini, manakala Leclerc di kedudukan ketiga dengan 126 mata.
Kata Leclerc, saingan F1 baru sahaja memasuki separuh musim dan masih banyak perlumbaan yang perlu diharungi dengan jumlah mata yang ditawarkan juga cukup tinggi sekali gus optimis jurang 49 mata tidaklah terlalu ketara.
“Saya akui pada awalnya agak risau dengan situasi semasa yang mana jurang perbezaan mata antara saya dan Verstappen agak tinggi. Namun, saya dan pasukan kekal positif kerana saingan musim ini baru sahaja memasuki separuh musim.
“Jika kita boleh memperbaiki kelemahan yang ada pada jentera sepanjang tempoh dua minggu rehat ini, saya percaya pada GP Britain akan datang, kita akan kembali mencabar kejuaraan podium,” katanya.
Leclerc telah memulakan kempen F1 musim ini dengan langkah kanan apabila menjuarai dua perlumbaan daripada tiga GP pertama, tetapi gagal meneruskan momentum cemerlang apabila hanya mencatatkan satu kedudukan podium pada enam perlumbaan terakhir.
Situasi berbeza dengan Verstappen yang semakin mendapat rentak apabila berjaya menjuarai enam perlumbaan GP musim ini meskipun diberikan saingan sengit oleh rakan sepasukan, Sergio Perez. – AGENSI