PETALING JAYA – Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman sempat mengucapkan takziah di atas pemergian penyanyi, Adibah Noor, Sabtu lalu.
Pelantun lagu Mimpi Laila itu membuat ucapan tersebut ketika dia dibawa dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Majistret bagi sebutan semula kesnya.
Selain nama Allahyarham Adibah, Yasin turut menyebut seorang lagi nama individu yang dikenali sebagai Mujahid Abdul Wahab.
“Salam takziah kepada kawan baik saya Mujahid Abdul Wahab dan Adibah Noor, Innalillahiwainnailaihirojiun,” katanya ringkas.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, Mahkamah Majistret di sini menetapkan 6 Julai bagi sebutan semula kes seterusnya atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan pihak pendakwaan akan membuat siasatan lanjut berhubung pertuduhan itu.
Peguam Arif Azmi, Azizul Shariman Mat Yusof dan Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin kemudian tidak membantah dengan tarikh sebutan baharu itu seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan itu Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Bagi pertuduhan tersebut Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Jamaludin Mat pertuduhan menanam 17 pokok ganja kekal dan mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen berkaitan kes.- KOSMO! ONLINE