PUTRAJAYA – Seorang wanita hamil lima bulan nyaris maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum jatuh ke bawah tebing setinggi dua meter di Taman Putra Perdana hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.43 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, namun dihantar ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ketika dihubungi berkata, kereta jenis Honda City dipandu mangsa ditemui di bawah tebing.
Menurutnya, mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi berada dalam keadaan terkejut.
“Mangsa terlebih dahulu dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE