SEBERANG PERAI – Seorang tukang kayu di sebuah kilang perabot kini hidup dalam keadaan tertekan apabila mendakwa identitinya telah dicuri dan disalahguna pihak tidak bertanggungjawab sejak lima tahun lalu.
Disebabkan itu, mangsa, Ang Siang Ping, 27, dikatakan telah menyebabkan kerugian kepada seorang pemilik rumah di sini kerana terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi iaitu sebanyak RM230,611.30 sepanjang tempoh berkenaan hingga Mac tahun lalu.
Pada masa sama, Siang Ping juga telah menerima saman mahkamah untuk satu kes sivil dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM234,747.50 berhubung aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ di Butterworth sekitar November tahun lalu.
“Kejadian ini (identiti dicuri dan disalahgunakan) mungkin berlaku selepas saya kehilangan kad pengenalan bersama beberapa dokumen lain termasuk wang tunai dalam satu kejadian pada 2017 sebelum satu laporan polis mengenainya dibuat.
“Bagaimanapun, laporan polis itu telah ditarik balik selepas kad pengenalan tersebut dijumpai semula beberapa hari kemudian (tahun yang sama),” katanya pada satu sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di pusat khidmatnya di sini hari ini.
Dakwa Siang Ping, lebih Malang lagi apabila semua akaun miliknya telah dibekukan oleh bank ekoran berdepan satu tindakan guaman sivil dengan penghakiman pada 18 Februari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.