fbpx

Tujuh premis perindustrian hasilkan efluen kena kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS JAS Negeri Sembilan menjalankan pemeriksaan ke atas premis perindustrian yang menghasilkan efluen dalam Op Burung Hantu yang dijalankan di sekitar Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Sebanyak tujuh buah premis yang menghasilkan efluen perindustrian dikenakan 18 kompaun keseluruhan dengan nilai sebanyak RM36,000 dalam Op Burung Hantu yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan pada 17 dan 18 Jun lalu.

JAS dalam kenyataan memaklumkan, kesemua premis berkenaan menerima notis arahan tidak mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dalam pemeriksaan yang tertakluk di bawah Akta Alam Sekeliling 1974.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 10 premis telah diperiksa di sekitar Seremban. Tujuh buah premis menerima notis arahan kerana tidak mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dengan jumlah kompaun sebanyak RM36,000.

“Sebanyak tiga premis lagi yang diperiksa patuh arahan. Selain itu, sebanyak 27 buah premis turut dipantau melalui pemeriksaan suhu dan pH bagi pelepasan efluen serta pemantauan bau dan asap hitam,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan tersebut, Op Burung Hantu berkenaan adalah bagi memastikan pihak industri sentiasa bersedia untuk mematuhi kehendak perundangan alam sekitar semasa menjalankan pengoperasian premis pada setiap masa.

“Diharapkan dengan pelaksanaan operasi pada waktu malam dan tindakan penguatkuasaan yang diambil ini akan memberikan mesej yang jelas bahawa JAS Negeri Sembilan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan premis perindustrian mematuhi kehendak perundangan dan kepentingan alam sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI