PUTRAJAYA – Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPMM) menyangkal konon ada menawarkan perkhidmatan badal haji bagi musim kali ini seperti yang tular menerusi media sosial.
Yang Dipertuanya, Afiq Hadi Mohd. Fauzi melalui kenyataan dalam laman sosial rasmi PPMM berkata, mereka juga tidak pernah langsung mengambil upah badal haji bagi agensi tertentu.
“PPMM dengan ini menafikan dakwaan segelintir pihak sama ada syarikat atau individu konon mendakwa badal haji yang mereka ambil akan dilakukan pelajar Malaysia di Mekah,” katanya.
Kenyataan PPMM itu merujuk beberapa hantaran yang tular menerusi platform media sosial di negara ini dengan turut menyatakan penuntut terbabit hanya mengenakan kos terlalu rendah.
Kelmarin, Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji di Mekah, Tengku Aziz Raja Abdullah mendedahkan lambakan iklan tawaran pakej badal haji palsu dengan harganya tidak munasabah.
Sedangkan agensi itu sendiri tidak pernah melaksanakan perkhidmatan itu pada musim haji kali ini kerana terdapat pelbagai peraturan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE