FEBRUARI lalu, seorang anggota kumpulan (G)I-DLE, Soyeon diberi kepercayaan menerbitkan sebuah lagu berjudul SUN untuk program My Teenage Girl terbitan MBC, untuk dipersembahkan peserta pada minggu final.
Selepas tayangan akhir program tersebut, netizen mendakwa lagu berkenaan ada persamaan dengan sebuah lagu hit kumpulan ATEEZ terbitan 2019 berjudul WAVE.
Selepas isu tersebut mendapat perhatian agensi CUBE Entertainment, Soyeon sendiri memohon maaf kepada komposer asal, artis dan peminat atas kekeliruan yang berlaku.
Kedua-duanya memaklumkan, nama penerbit asal lagu itu iaitu Eden-ary sudah dimasukkan dalam bahagian kredit.
Ketika peminat beranggapan isu tersebut sudah selesai, tiba-tiba nama Soyeon kembali memanas apabila netizen menyedari lagu tersebut didaftarkan bawah Korean Music Copyright Association (KOMCA).
Karya berkenaan diberikan kredit dan hak cipta kepada Soyeon, sekali gus timbul dakwaan bahawa penyanyi itu sewenang-wenangnya ‘buat duit’ dengan lagu plagiat.
“Soyeon disenaraikan sebagai salah seorang penyanyi latar. Saya fikir, dia mungkin ingat semua orang lupa ini adalah lagu plagiat,” komen seorang netizen dengan nada sinis.