PETALING JAYA – Orang ramai terkejut apabila seorang guru di sebuah tadika mendedahkah gajinya hanya RM450 sebulan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh individu berkenaan melalui pesanan mesej (DM) di Twitter pengacara terkenal, Fedtri Yahya.
“Saya perlu pertolongan nak tanya orang ramai, normal ke masih bergaji RM450 sebulan dalam ekonomi yang meningkat sekarang ini?
“Saya bekerja sebagai guru di sebuah tadika yang saya tak mahu dedahkan namanya,” kata mesej tersebut.
Menurut guru berkenaan, dia perlu bekerja dari pukul 7.30 pagi ke 1 tengah hari dengan 19 orang pelajar dengan target yang tinggi untuk akademik, menghafal surah dan hadis.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam tindakan majikan guru tersebut dan meminta agar tadika itu dilaporkan kepada pejabat buruh.
“Boleh repot pejabat buruh, atau pihak berkuasa tertentu yang berkaitan. Ini penindasan,” kata Ali.
“Tak normal. Elok cari kerja lain takut bawa masalah jiwa pula nanti macam kemurungan,” kata Bahrudin.
“Kalau di Kelantan gaji dari RM650 ke RM700 dari pukul 7 pagi ke 7 petang. Bukan malas kerja tapi tak berbaloi. Jadi cikgu bukannya senang, lebih baik kerja kilang walaupun penat tapi berbaloi,” kata Rose.
“Sangat tidak normal. Ganjaran keikhlasan mendidik adalah antara kita dengan tuhan tetapi gaji bermaruah adalah hak pekerja dengan majikan,” kata Ahmad Fitri. – KOSMO! ONLINE