PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Penyair Malaysia, Datuk Rahman Shaari, 73, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pemilihan tokoh dibuat berdasarkan sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima.
Menurut beliau, seramai sembilan panel pemilihan telah mengadakan mesyuarat penilaian untuk meneliti sumbangan serta kekuatan calon.
“Terdapat 12 calon kesemuanya yang dihantar oleh persatuan, institusi dan individu berwibawa, jadi daripada 12 calon ia telah disenarai pendek kepada tiga calon dan (akhirnya) Rahman dipilih.
“Pemilihan ini adalah kepakaran ahli panel berdasarkan mesyuarat yang dibuat sejak September tahun lalu,” katanya pada pengumuman Anugerah Sastera Negara Ke-15 di Kementerian Pendidikan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kekuatan Rahman adalah dalam genre puisi di mana puisi-puisinya sarat dengan pemikiran serta memerlukan penafsiran yang mendalam. – KOSMO! ONLINE