MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yakin Bernardo Silva akan terus bersama kelab itu musim depan selepas namanya hangat dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Barcelona.
Begitupun, Guardiola, 51, bersedia membenarkan perpindahan tersebut jika ia menggembirakan pemain sayap lincahnya itu yang sememangnya mengimpikan peluang menyarung jersi Barcelona.
Difahamkan, Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi cukup meminati corak permainan Silva, 27, dan boleh menggantikan tempat Frenkie De Jong jika pemain tengah itu berhijrah ke Manchester United selepas ini.
“Setakat hari ini, saya dapat merasakan Silva akan terus bersama kami.
“Kami tidak tahu apa seterusnya yang akan berlaku dalam jendela perpindahan. Namun, seperti saya katakan sebelum ini bahawa saya mahu pemain yang hatinya ada bersama kami.
“Kami sangat menghargai sumbangan Silva dan mengharapkan sentuhannya untuk saingan musim depan,” kata Guardiola.
Tonggak skuad antarabangsa Portugal itu pernah meluahkan keinginannya untuk berhijrah daripada Etihad musim lalu sekali gus menarik perhatian banyak gergasi Eropah.
Bagaimanapun, bekas bintang AS Monaco itu kekal dan memainkan watak penting dalam kejayaan City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Biarpun City membeli Erling Haaland, tetapi Raheem Sterling dan Gabriel Jesus hampir pasti bakal meninggalkan kelab itu menyebabkan Guardiola benar-benar memerlukan khidmat Silva musim depan. – AGENSI