LONDON – Manchester United dilaporkan sudah menghubungi ejen bekas pemain Inter Milan, Christian Eriksen untuk membincangkan mengenai potensi perpindahannya ke Old Trafford musim depan.
Eriksen menjadi ejen bebas hujung bulan ini selepas kontrak jangka pendeknya bersama Brentford berakhir dan pengurus baharu United, Erik Ten Hag dilaporkan sangat meminati kelibat pemain tersebut.
Selain United, beberapa pasukan seperti Brentford dan West Ham United juga dilaporkan berminat untuk mengadakan rundingan dengan pemain berkenaan sementara Leicester City dan kelab lamanya, Ajax Amsterdam dan satu kelab dari La Liga Sepanyol juga mahukan khidmatnya.
The Red Devils yang melalui musim yang suram sebelum ini perlu melakukan banyak perubahan untuk mengharungi musim depan terutama jentera tengah mereka apabila ramai pemain di posisi tersebut telah dilepaskan pada jendela perpindahan kali ini.
Biarpun United dilihat kurang aktif pada pasaran perpindahan kali ini apabila masih belum dapat mengesahkan pemain baharu yang menyertai mereka, Ten Hag dilaporkan memberi arahan supaya Eriksen dan pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong sebagai pemain yang mereka mesti dapatkan sebelum musim baharu bermula.
Kedua-dua pemain berkenaan pernah bekerja di bawah Ten Hag sebelum ini menyebabkan pengurus dari Belanda itu percaya kehadiran mereka akan memudahkan tugasnya merencanakan sesuatu yang baik buat pasukan.
Eriksen dalam 11 penampilan bersama Brentford sejak Januari lalu berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta empat umpanan gol sekali gus menyaksikannya kembali berada pada prestasi terbaik selepas terkena serangan jantung pada kempen Euro 2020 lalu. – AGENSI