fbpx

Lebih 20,000 peluang kerjaya ditawarkan di BN Youth Job Fair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf bercakap pada sidang akhbar di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur hari ini. FOTO/AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bermula 24 hingga 26 Jun ini.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, karnival yang kali terakhir diadakan pada 2017 itu merupakan acara penting selain merupakan jambatan kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan sektor swasta dalam membuka peluang kerjaya terutama kepada golongan belia.

“Sepanjang karnival ini, bukan saja peluang pekerjaan malah ada juga perkhidmatan pembiayaan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan. Dari segi kelulusan, kita juga buka daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga kepada peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah dan master.

“Kita jangka lebih 20,000 hingga 50,000 peluang kerjaya bakal ditawarkan. Selain itu, hasil perbincangan melalui agensi-agensi kerajaan dan swasta, temu duga secara langsung juga akan dibuat bagi memudahkan pemohon yang hadir.

“Jadi, datang berpakaian kemas dan datang awal bagi mengelakkan kesesakan. Bagi yang tidak tahu buat resume, kita ada sediakan bengkel untuk mereka sediakan resume terbaik,” katanya pada sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Asyraf berkata, antara syarikat besar yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung nanti antaranya Boustead Holdings Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Mara dan lain lain.

“Selain itu, kita juga ada siri bengkel dan perkongsian daripada pelbagai kelompok profesional dari sudut aspek kerjaya bagi memberi maklumat kepada mereka mengenai industri tertentu,” katanya.

Katanya, penganjuran kali ini diadakan bagi memastikan golongan muda mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan, khususnya ketika negara sedang beralih ke fasa endemik. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI