BERTARAF legenda, penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abd. Rahman bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air. Siapa Salwa dalam dunia seni suara juga tidak perlu diceritakan lagi.
Bakat wanita berusia 57 tahun itu mula dicungkil menerusi pertandingan Bintang Radio Pujaan Negeri Johor 1985.
Pada waktu tersebut, usianya baru 19 tahun. Selepas itu, beberapa lagi siri pertandingan disertai Salwa hinggalah akhirnya dia dilamar menjadi penyanyi rakaman.
Bukan satu dua lagu dan album dilancarkan, tapi ada deretan karya yang dihasilkan hingga kekal malar segar selain masih menjadi siulan peminatnya.
Sehingga pada usia mencecah enam dekad, kemrduan dan kelunakan suara Salwa tidak terusik.
Kali terakhir Salwa juga isteri kepada bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz muncul dengan lagu adalah enam tahun lalu menerusi single I Miss You.
Terbaharu, Salwa kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu dan muzik yang lebih segar berjudul Makna hasil ciptaan sepenuhnya oleh Red Rahimad, Pown Hasril, Otromen, Aman Nassim dan Ariff Peter.
Menariknya, lagu terbitan label COF Music itu turut menampilkan gandingan vokal Salwa dengan penyanyi dan rapper muda, Red Rahimad.
Semangat anak saudara
Menyifatkan kemunculan menerusi lagu Makna sebagai rezeki, Salwa juga menemukan pengalaman baharu menerusi pembikinan lagu berkenaan.
“Kata orang rezeki memang tak salah alamat. Sebenarnya saya dah mula nak kurangkan pembabitan dalam bidang seni ini selain sudah kurang berminat nak keluarkan album atau lagu sebenarnya.
“Tapi, anak saudara saya iaitu Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim yang nak sangat saya untuk keluarkan lagu terbaharu bersama dengan Red Rahimad.
“Jadi, semangat itu datang daripada anak saudara saya sebenarnya. Kalau pada saya semangat untuk menyanyi itu sudah 50/50 tapi saya tetap buat ‘show’. Bila dah diberikan lagu dan lirik, saya tengok macam sesuai dengan jiwa walaupun ada penyanyi rap di situ. Tapi saya buat bahagian lain iaitu dangdut.
“Lagu ini ada rentak Latin pop dan dangdut sikit. Rasanya bersesuaian dengan saya. Mulanya saya ingat kena rap dan tak tidur satu malam tapi rupanya tak ada. Jadi inilah bahagian saya dan hip-hop pula tugas Red Rahimad. Saya rasa teruja bila diundang untuk bernyanyi bersama Red Rahimad. Ini satu percubaan baharu dan kelainan dalam hidup,” katanya.
Sekian lama tidak berada di studio, Salwa mengakui sedikit ‘gabra’ ketika proses rakaman dijalankan.
Dia bagaimanapun menjadikan kepercayaan diberikan untuk merakamkan lagu Makna bersama Red Rahimad sebagai peluang yang tidak boleh dipersia-siakan.
Teruja
“Bila dah dapat lagu, lirik dan melodinya rasa terujalah pula. Saya pun memang lama tak masuk studio jadi gabra itu tetap ada. Tapi disebabkan ada kerjasama daripada penerbit, pencipta lagu dan anak saudara, semangat itu datang balik. Kadang-kadang sebagai penyanyi ini bila dah masuk studio, semangat itu dah jadi lain. Jadi saya buat sebaik yang mungkin sebab dah diberikan kepercayaan,” katanya.
Dalam masa sama, Salwa berterima kasih kepada suami dan anak-anak yang sentiasa menyokong kerjaya seninya dari mula sampai sekarang.
“Macam suami dia tak pernah mengongkong saya kalau masih nak menyanyi. Dia sentiasa memberikan saya semangat yang padu untuk meneruskan bidang seni ini. Itu salah satu sebab yang membuatkan saya gembira, tak tertekan dan anak-anak pun menggalakkan.
“Saya buat secara sukarela dan gembira. Insya-Allah mudah-mudahan ada rezeki, kerjasama daripada pihak wartawan dan kerjasama daripada pihak radio untuk putarkan lagu ini.
“Mungkin sampai masanya untuk berundur, saya akan berundur. Sebab saya tak adalah sampai ke tua nak menyanyi. Saya ada sasaran sendiri dan sampai masa akan berundur.
“Kepada peminat yang masih mengikuti perkembangan saya, inilah hadiah untuk mereka yang ingin mendengarkan suara saya yang terbaharu. Semoga peminat dapat terima dengan imej dan rentak baharu ini. Terima kasih kepada yang masih bertanya di media sosial, itu tandanya saya masih diminati, alhamdulillah. Harap lagu ini memberikan makna yang baik untuk saya,” katanya.
Lagu dan video muzik Makna yang dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun lalu sudah boleh ditonton di saluran YouTube COF Music.