PETALING JAYA – Syarikat pelopor perhotelan dunia, IHG Hotels & Resorts (IHG) mengumumkan pemeteraian perjanjian ke atas InterContinental Penang Resort dengan usahasama THR Hotel (Penang) Sdn. Bhd., anak syarikat kepada pemilik hotel utama di Malaysia, Tradewinds Corporation Berhad.
Kerjasama itu bakal menyaksikan IHG memperkembangkan portfolio mewah & gaya hidupnya di Malaysia dengan mengubah Mutiara Beach Resort Pulau Pinang di Teluk Bahang, kepada resort pantai mewah di bawah jenama IHG.
Bakal dibuka pada 2025, InterContinental Penang Resort yang terletak bersebelahan perkampungan nelayan Teluk Bahang, Taman Negara Pulau Pinang dan Taman Herba Tropikal Pulau Pinang akan menawarkan pengunjung pemandangan Selat Melaka yang menampilkan pantai pasir putih, air hijau jernih dan latar belakang hutan gunung untuk pengalaman sukar dilupakan.
Timbalan Presiden Pembangunan, Asia Tenggara dan Korea, IHG, Pulau Pinang sebagai sebuah bandar yang kaya dengan sejarah dan budaya sentiasa menjadi tumpuan pelancong atau atas urusan perniagaan.
“Kami ingin mewujudkan destinasi resort terbaik di sini, menjadikannya daya tarik kepada semua pengunjung dan memperkukuhkan kehadiran jenama IHG dalam segmen percutian mewah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Di Malaysia, IHG ketika ini mempunyai enam hotel di bawah tiga jenama iaitu InterContinental, Holiday Inn dan Holiday Inn Express.
IHG komited untuk mengembangkan hartanahnya di negara ini dan mempunyai perancangan melibatkan 10 buah hotel yang bakal dibuka dalam tempoh tiga hingga lima tahun, termasuk Crowne Plaza Kota Kinabalu, Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre, Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park, Kimpton Kuala Lumpur dan Regent Kuala Lumpur.