PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat berlaku sejak awal pagi tadi melibatkan negeri-negeri di sebelah barat semenanjung, kawasan utara serta beberapa bahagian di Sarawak.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca pada laman Youtube memaklumkan, imej radar pada masa ini menunjukkan hujan lebat yang bermula dari selatan Perak telah mulai reda kecuali sekitar Johor yang akan reda dalam tempoh satu hingga dua jam lagi.
“Hujan lebat pagi ini turut mula berlaku di sekitar kawasan utara semenanjung khususnya di Langkawi dan Perlis yang dijangka akan berterusan sehingga tengah hari nanti,” katanya di sini hari ini.
MetMalaysia melaporkan, cuaca cerah di kebanyakan bahagian di Sabah pada pagi ini manakala, hujan renyai berlaku di sekitar kawasan pedalaman.
“Untuk Sarawak pula, hujan lebat pagi tadi di bahagian sekitar tengah negeri tersebut seperti Sibu, Mukah, Bintulu dan Kapit kini sudah mulai reda. Hujan lebat kini berlaku sekitar bahagian Kapit yang turut dijangka reda menjelang tengah hari,” ujarnya.
Bagi laporan cuaca petang ini pula, MetMalaysia menjangkakan hujan dan ribut petir pada lewat petang hingga malam yang tertumpu di negeri-negeri sebelah utara dan sekitar pantai timur semenanjung.
“Selain itu, hujan dan ribut petir dijangka di Sabah yang akan lebih tertumpu di bahagian-bahagian pedalaman negeri manakala, hujan dan ribut petir di Sarawak pada lewat petang dijangka akan berlaku di sebelah barat dan pedalaman negeri hingga malam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE