fbpx

China dilanda hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di daerah Quanzhou, Guangxi pada 19 Jun lalu. – CFP/CGTN

BEIJING – Beberapa bahagian di selatan China dilanda hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun sepanjang hujung ming­gu lalu selepas pakar-pakar kaji cuaca memberi amaran bahawa fenomena cuaca ekstrem akan menjadi semakin kerap, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Hujan lebat itu mencetuskan bencana tanah runtuh di sekurang-kurangnya tujuh wilayah, manakala jalan-jalan raya ditenggelami air banjir, lapor media tempatan.

Beberapa rakaman video yang dikongsikan di media sosial memaparkan air sungai melimpah ke jalan-jalan raya dan menghanyutkan kereta serta kediaman di wilayah Guizhou, barat daya China.

Menurut biro cuaca tempatan, taburan hujan di Guangxi, Guangdong dan Fujian mencapai rekod tertinggi sejak 1961, dengan purata taburan hujan sebanyak 621 milimeter (mm) antara 1 Mei hingga 15 Jun lalu.

Angka itu menyamai lebih 90 peratus purata taburan hujan negara iaitu 672.1 mm bagi sepanjang tahun 2021, demikian menurut data oleh Pusat Iklim Kebangsaan.

Pakar-pakar kaji cuaca ber­kata, fenomena cuaca melampau semasa memungkinkan kejadian ribut dan hujan lebat melanda China, manakala  gelombang haba berlaku di utara negara itu.

“Udara sejuk dan panas berkumpul di selatan China,” kata penganalisis laman cuaca weather.com, Wang Weiyue.

Hujan lebat berlanjutan sehingga semalam di wilayah Guizhou, Jiangxi, Anhui, Zhejiang dan Guangxi sebelum bergerak ke arah utara.

Musim banjir di China bia­sanya bermula pada bulan Jun setiap tahun dan lebih teruk berlaku di kawasan-kawasan pertanian yang padat dengan penduduk di sepanjang Su­ngai Yangtze dan anak-anak su­ngainya.

Namun, banjir menjadi semakin buruk sejak beberapa tahun lalu dan pakar-pakar memberi amaran bahawa bencana banjir akan menjadi lebih buruk. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI