SELEPAS ketiadaan jurulatih beregu campuran, Paulus Firman serta beregu lelaki, Flandy Limpele yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Mac dan April lalu, badan induk itu masih belum menemui pengganti.
Memandangkan sudah hampir dua bulan skuad beregu lelaki dan beregu campuran beraksi tanpa ketua jurulatih, BAM tampaknya mula mengatur langkah mencari calon sesuai bagi mengisi kekosongan tersebut.
Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky bagaimanapun menjelaskan, pihak persatuan enggan terburu-buru melantik pengganti dua jurulatih tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai ‘tangkap muat’.
“Memang saya tahu perkara itu, tetapi kita tidak mahu terburu-buru kerana bukan senang untuk dapatkan jurulatih berkualiti. Kita bukannya mahu sekadar ambil jurulatih kerana hasilnya mungkin tidak seperti diharapkan.
“Saya tahu perkara ini sudah lama tertangguh, tetapi buat masa ini, kita masih boleh kendalikan latihan seperti biasa dan memang ada usaha untuk cari pengganti,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pengendali dari Indonesia itu juga berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh bagi membincangkan perkara tersebut.
Walaupun perkembangan adalah positif, namun Rexy menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan sama ada untuk mengambil jurulatih tempatan ataupun luar negara.
“Buat masa ini, perkembangan sangat positif tetapi masih ada perkara yang perlu dibincangkan lagi. Setakat ini, kita sedang menilai jurulatih dari luar, tetapi saya ada juga cakap kepada Datuk Kenny mengenai jurulatih tempatan, namun segala keputusan terpulang kepada mereka.
“Saya cadangkan kepada pengurusan untuk dapatkan dua jurulatih, tetapi kita tengok dahulu bagaimana. Sekiranya berjalan dengan baik, calon tersebut akan sampai dalam masa terdekat,” ujarnya.