LONDON – Pelumba Suzuki, Alex Rins dikatakan akan memuktamadkan masa depannya tidak lama lagi selepas disebut-sebut akan menyertai pasukan LCR Honda musim 2023 nanti.
Pasukan LCR Honda dikhabarkan akan melakukan rombakan besar-besaran termasuk menggantikan dua pelumbanya iaitu, Alex Marquez dan Takaaki Nakagami yang dilihat bergelut dengan prestasi masing-masing.
Difahamkan, Rins telah melakukan perbincangan kedua bersama pasukan berpangkalan di Monte Carlo, Monaco tersebut dan hasilnya merlihatkan sesuatu positif.
Bagaimanapun, ketibaan Rins ke LCR bergantung pada kelulusan Honda yang akan menentukan barisan pelumba pasukan satelitnya dan faktor kewangan juga akan menjadi faktor utama pemilihan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pasukan Honda, Alberto Puig mengesahkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan kedua-dua pelumba Suzuki iaitu Alex Rins dan Joan Mir.
“Honda telah bercakap dengan dua pelumba Suzuki itu. Mereka telah menghubungi kami selepas berita tersebar mengenai masa depan pasukan mereka,” kata Puig.
Rins dijangka akan menggantikan tempat Alex Marquez selepas dilihat masih bergelut dengan prestasinya musim ini.
Nasib Takaaki Nakagami juga belum dapat dipastikan selepas bintang muda Jepun, Ai Ogura disebut-sebut menggantikan tempatnya di LCR Honda musim depan. – AGENSI