MADRID – Selepas bertindak ‘mengunci mulut’, bekas pengendali Real Madrid, Zinadine Zidane yang tidak menyertai mana- mana pasukan sejak setahun lalu akhirnya bersuara dan mengakui mahu terus kekal relevan dalam pengurusan kelab.
Ketika ini, bekas bintang antarabangsa Perancis itu dikaitkan ke Paris Saint-Germain untuk menggantikan Mauricio Pochettino, namun kekal berteka-teki mengenai masa depannya.
“Adakah saya masih mampu menyumbang sesuatu sebagai jurulatih? Sudah pasti. Banyak perkara atau sekurang-kurangnya saya mampu melakukan beberapa perkara.
“Saya mahu meneruskan karier ini kerana saya masih memiliki keinginan dan ini adalah kemahuan saya. Saya sudah berumur 50 tahun dan perkara paling penting adalah memastikan saya kekal gembira,” katanya.
Sebelum ini Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini turut cuba memujuk Zidane kembali ke Ligue 1 dan kepakarannya ketika menjulang nama Real Madrid begitu ditagih untuk cuba melakukannya sekali lagi bersama PSG.
Bagaimanapun, Zidane juga dilaporkan sedang mengintai jawatan kosong bersama skuad kebangsaan Perancis ketika pengendali semasa, Didier Deschamps mungkin akan meninggalkan pasukan selepas Piala Dunia Qatar.
“Saya sudah lama bekerja dan dikelilingi ramai orang yang hebat. Saya bertanggungjawab terhadap banyak perkara, namun siapalah saya tanpa mereka. Sebab itu, saya perlu letakkan diri saya dengan orang yang saya rasa selesa,” jelasnya. – AGENSI