fbpx

U.K’s kekal tajam menikam, bisa berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN U.K's menghiburkan penonton di Istana Budaya selama dua malam pada Konsert U.K's Reunion 25 Tahun pada 17 dan 18 Jun baru-baru ini.

SANTAPAN jiwa yang tajam menikam. Ibarat dibawa kembali ke zaman kegemilangan sekitar 1990-an, kumpulan legenda U.K’s meleraikan penantian panjang peminat yang mendambakan sebuah persembahan berskala mega buat julung kali menerusi penganjuran Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun.

Menawan Panggung Sari Istana Budaya dua malam berturut-turut pada Jumaat dan Sabtu lalu, U.K’s langsung tidak canggung menyajikan persembahan terbaik buat peminat meskipun sudah lama tidak beraksi.

Membuka tirai persembahan dengan lagu hit Kau Satu-Satunya, lantunan vokal gemersik vokalisnya, Amir cukup mencairkan hati sehingga mencetuskan tempik sorak penonton yang hadir memenuhi ruang dewan.

Menampilkan gabungan semula anggota asal kumpulan itu iaitu Rozdenil Tonil atau Denil (gitar), Mohd. Saleh Mohd. Alias atau Olley (bass), Amiruddin Sharif atau Amirul (dram) dan pemain gitar undangan, Mus Satira, iringan muzik dimainkan kesemua pemuzik di tangan Mohd. Rafi Shafie dan Ahmad Firdaus Mahmud sebagai pengarah muzik itu sebati dengan lantunan vokal Amir yang masih sama seperti dahulu.

Mungkin agak berbeza kerana faktor usia, tapi tidak lari jauh daripada keaslian vokalnya ketika zaman muda, era yang pernah mencengkam jiwa pendengar dengan banyak lagu patah hati U.K’s.

PADA usia 50-an, Amir masih ampuh berdiri memegang identiti sebagai vokalis bersuara merdu di sebalik lagu-lagu hit U.K’s.

‘Tangkap leleh’

Meneruskan minit awal persembahan dengan seleksi lagu medley seperti Kembali Mencari, Membara dan Berkat Kasihmu, Amir terharu dan sempat mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir memberi sokongan untuk persembahan mereka.

Tidak membuang masa, Amir meneruskan persembahan dengan seleksi lagu popular U.K’s lain antaranya Di Luar Kemampuanku, Rondo Cinta Buta, Cintaku, Berkat Kasihmu dan Rhythm Si Jantung Hati.

Menjentik keterujaan peminat, kumpulan itu kemudian menyajikan karya hit, Kekasihku Di Menara dan Pahit Akan Manis Akhirnya sehingga memecah gempita di dalam dewan apabila penonton ikut turut menyanyi.

“Lagu-lagu U.K’s tangkap dalam, makan dalam. Ramai yang bercinta, putus cinta atau berkahwin sebab lagu-lagu kami. Membuktikan lagu-lagu kami kekal sepanjang zaman,” ujar Amir.

Mengundang pemuzik jemputan seperti MOHRAM iaitu Abd. Ramli Ab. Hamid @ Ramli (percussion) dan Muhardiman Ismail @ Mohar yang bermain seruling, persembahan U.K’s berjalan sempurna dengan segmen medley seterusnya menerusi lagu Untuk Apa dan Balada Ani.

PENGHARGAAN besar daripada U.K’s buat komposer dan penulis lirik hebat, Saari Amri yang banyak berjasa dalam menaikkan nama mereka di persada muzik serantau menerusi segmen khas.

Pada pertengahan minit persembahan ketika U.K’s mengambil masa berehat seketika, penonton ditayangkan dengan sebuah video perkongsian beberapa orang kuat di belakang tabir industri rakaman yang pernah membantu kejayaan U.K’s suatu ketika dahulu.

Persembahan kemudian disambung dengan lagu-lagu seperti Seksa, Sesak dan medley Kekasihku, Sebak, Gema Kasih Sepanjang Usia sebelum Amir membuka segmen khas dengan menjemput individu istimewa yang banyak menabur jasa menaikkan nama U.K’s.

Saari Amri. Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena seni tempatan. Individu berpengaruh yang banyak menghasilkan lagu untuk ramai kumpulan dan penyanyi popular.

Segmen khas menyaksikan Saari tampil berduet dengan Amir menerusi lagu Kita Sama Sahaja selepas kedua-dua mereka sempat berseloroh mengimbau ‘percakaran’ yang pernah berlaku antara mereka suatu ketika dahulu.

Mengakhiri hujung persembahan, U.K’s ‘menyumbat’ lapan buah lagu dalam segmen medley seterusnya iaitu Terasa, Tergamak Kau, Bila Diri Disayangi, Nafas Orang Kota, Prosarasa, Sudah Tiada Tunasnya dan Kita Akan Dijemput.

Malah, Amir membuai penonton dengan lantunan vokal nada rendah menerusi lagu Satu Lilin Sehening Malam sambil diiringi Birgitta Claire Abeysekra yang bermain piano untuk segmen dedikasi.

Tidak sah andainya tidak menyanyikan lagu berhantu dan U.K’s memilih menutup tirai persembahan dengan dua buah lagu hit, Siapa Yang Rampas Cintamu dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu. Sungguh semuanya begitu berbisa!

Ibarat menonton dan mendengar dendangan lagu U.K’s dalam bentuk kaset mahupun cakera padat (CD), malam konsert arahan Syamsul Cairel anjuran Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. berkenaan nyata mengusik kenangan lama kelompok yang membesar bersama U.Ks.

MEMILIKI tujuh buah album studio, U.K’s mengakui berdepan cabaran memilih lagu terbaik untuk dipersembahkan kepada peminat pada Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun.

Sakit tekak, negara jiran

Menjadi satu kebimbangan bagi mana-mana penyanyi adalah tahap penjagaan vokal sebelum menjelang hari persembahan dan hal itulah yang meresahkan Amir sebelum berlangsungnya konsert dua malam tersebut.

Amir turut mengalami luka pada bahagian tekak kerana menjalani latihan selama empat jam di Istana Budaya selama seminggu sebelum malam konsert.

“Risau ada bengkak pada tekak dan ganggu vokal. Tetapi alhamdulillah, selepas bertemu doktor pakar dan dimasukkan kamera ke dalam hidung, berlaku sedikit sahaja luka dan doktor bagi ubat supaya dapat kecutkan bengkak dalam masa tiga hari sebelum konsert.

“Berdebar sebenarnya sebab kerisauan saya adalah apabila tekak bengkak, akan ganggu vokal. Alhamdulillah, selepas ambil ubat dan paling penting dapatkan rehat yang cukup, syukur dapat buat persembahan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui usai konsert tamat.

Amir turut menyifatkan gabungan semula anggota asal U.K’s sebagai permulaan ‘baharu’ buat mereka dengan menyasarkan projek lain selepas ini.
U.K’s berhajat mahu melebarkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

“Agak mencabar juga konsert ini sebab maklumlah masing-masing sudah berusia. Jadi ketika menerima tawaran buat konsert, kami terus berlatih sejak Disember tahun lalu.

“Inilah gabungan sebenar dengan kehadiran rakan-rakan lama. Ini bukan penamat. Insya-Allah,” kata Amir.

KEHADIRAN ahli asal U.K’s seperti pemain bass, Olley (kiri) menggamit kenangan lalu saat zaman kegemilangan kumpulan itu sekitar era 1990-an.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI