SELEPAS berakhirnya kejohanan Terbuka Indonesia minggu lalu, ramai berpendapat sukan badminton negara masih gagal menunjukkan prestasi terbaik seperti diharapkan.
Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia tewas tipis kepada Viktor Axelsen dari Denmark di separuh akhir, manakala pasangan beregu Aaron Chian dan Soh Wooi Yik turut terkandas pada peringkat sama.
Sebahagian besar pemain dan pasangan negara yang lain turut tumpas pada pusingan awal. Apa yang menjadi kembimbangan peminat badminton ketika ini adalah kebergantungan kepada pemain tertentu.
Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, negara tidak seharusnya bergantung kepada pemain-pemain tertentu sebaliknya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu segera mencari bakat baharu yang boleh diketengahkan dalam kejohanan besar.
“Saya rasa sudah tiba masanya, jurang kualiti permainan antara Zii Jia dan pemain-pemain muda lain seperti Ng Tze Yong dan Lee Jun Hao dirapatkan.
“Kita tidak boleh terus bergantung pada Zii Jia sahaja. Negara perlu ada pelapis masa depan,” katanya kepada Kosmo!.
Bekas pemain nombor satu dunia itu menambah, BAM perlu memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dengan menyertai lebih banyak kejohanan besar mengikut kelayakan merit mereka.
Ujarnya, ia penting bagi membina keyakinan dan teknik permainan apabila bersaing di pentas tertinggi bersama pemain ternama dunia lain.
“Kita boleh nampak sebelum ini, apabila pemain muda ini terpaksa bersaing dengan pemain terkemuka dalam Piala Thomas. Ia ada jurang yang sangat ketara,” tegasnya.
Pendapat tersebut senada dengan Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Shaharudin Abdul Aziz yang memaklumkan, BAM harus mencontohi China, Jepun dan
Denmark yang mampu melahirkan pemain bertaraf dunia serta mempersiapkan pelapis sebagai pengganti apabila tiba masanya.
“Saya sangat tertarik dengan China, meskipun Lin Dan sudah hampir sampai penghujung karier, mereka sudah mempersiapkan pemain pelapis yang tidak kurang hebatnya iaitu Chen Long.
“Sedangkan kita, apabila jaguh badminton negara, Lee Chong Wei bersara, kita tiada pelapis yang setara dan perlu mengambil masa agak lama sebelum munculnya Zii Jia,” jelasnya.
Sehubungan itu, Shaharudin berharap, BAM tidak mengulangi kesilapan sama seperti sebelum ini apabila hanya bergantung harap kepada pemain tertentu sehingga melupakan pembangunan pemain pelapis.
Beliau menyarankan supaya BAM menilai semula pemain muda yang ada dalam kem badminton negara ketika ini, sekiranya tiada sebarang peningkatan permainan selepas diberi cukup pendedahan, mereka harus diganti.
“Pemain muda ini tidak harus dinilai dari aspek prestasi sahaja, bahkan kaji selidik psikologi. Misalnya, lakukan juga kaji selidik mengenai tahap ego seseorang pemain.
“Kalau tahap egonya rendah, maka pemain berkenaan harus dipinggirkan. Ini kerana, kebanyakan pemain hebat dalam sukan mempunyai tahap ego yang tinggi. Mereka ini tidak suka kalah,” terangnya.