PENYANYI Sandara Park atau Dara menarik perhatian peminatnya selepas berkongsi momen percutian di Dubai baru-baru ini.
Bekas anggota kumpulan 2NE1 itu menerusi Instagram memuat naik banyak momen indah dan menarik sepanjang bercuti di negara ‘mewah’ tersebut.
Paling mengujakan peminat apabila Dara mendedahkan penginapannya di bilik hotel berharga AS$8,000 bersamaan RM35,223 semalaman.
Selain harga bilik hotel, apa yang mengujakan peminat juga apabila Dara berkongsi pengalamannya bersiar-siar di atas sebuah kapal layar mewah empat tingkat.
“Saya tidur di hotel berharga AS$8,000, menaiki kereta ‘sports’ dan menikmati pemandangan di atas kapal layar empat tingkat.
“Berjalan-jalan dan membeli-belah di dalam pusat beli-belah seluas 200 buah padang bola sepak, pergi ke gurun dan menikmati pemandangan yang sukar digambarkan,” tulisnya berkongsi kegembiraan bercuti.
Peminat ternyata tumpang bahagia menyaksikan perkongsian Dara. Masing-masing juga tidak mempersoalkan mahupun terkejut dengan belanja mewah percutian tersebut kerana sedia maklum dengan status kehidupan Dara