PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Rwanda berlangsung selama lima hari.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, program itu kebiasaannya diadakan setiap dua tahun sekali namun mesyuarat ke-26 yang sepatutnya pada 2020 lalu ditunda kerana isu Covid-19.
“Tema kali ini ialah Delivering A Common Future: Connecting Innovating, Transforming yang relevan dengan situasi semasa komuniti global kini berdepan pasca pandemik,” jelasnya.
CHOGM 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Kigali yang akan dipengerusikan oleh Presiden Rwanda, Paul Kagame dengan kemuncak persidangan tersebut pada Jumaat dan Sabtu ini.
Kali terakhir mesyuarat dwitahunan itu berlangsung ialah pada 2018 lalu dengan ibu kota London di Britain menjadi tuan rumah manakala CHOGM yang berikutnya pula di Samoa.
Malaysia yang menjadi ahli Komanwel selepas merdeka pada 1957 pernah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989 dengan memperakui Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, mesyuarat mula diperkenalkan pada 1971 lalu dengan Singapura sebagai hos pertama itu dianggap platform penting Malaysia di pentas Komanwel.
Kesemua pemimpin dari 54 negara bekas jajahan Britain itu bakal membincangkan kesan Covid-19 yang mengakibatkan jurang ketara pengagihan kekayaan dan akses kesihatan. – KOSMO! ONLINE