fbpx

Pemergian Adibah Noor yang dicemburui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Adibah Noor

GAJAH mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang. Begitulah perumpaan yang menggambarkan betapa segala perihal kebaikan mahupun keburukan kita akan menyelinap dalam ingatan sesiapa saat seseorang manusia dijemput kematian.

Biar sekian banyak tahun pun tidak bersapa apatah lagi bertandang depan mata, sekelumit pekerti seseorang yang meninggal dunia akan berbekas dalam jiwa.

Setangkai budi atau sehiris luka yang ditinggalkan juga akan menjadi doa dan wakaf pahala dosa kita di alam baqa mahupun di akhirat kelak.

Allahuakbar! Mengenangkan soal kematian adakalanya menjadi kengerian tetapi itulah hakikat untuk semua kehidupan.

Ketenangan hati kita mungkin tidak ada pada hari kehilangan, namun saat dia kembali sebagai kenangan, di situkah reda mengulit tenang.

Sayangnya, adakala kengerian hanya datang saat berita kematian melintas dalam peti pesanan mesej atau ketika menyusuri garis status dalam sosial media.

Kematian berlaku dalam setiap waktu setiap hari, namun tidak semua kematian dicemburui.

Berita berkaitan: Adibah Noor meninggal dunia

Semestinya, pemergian orang ternama juga akan lebih menjadi sebutan berbanding kematian saudara-mara, kawan-kawan rapat atau mungkin kita sendiri.

Usah cemburu iri hati kerana di mata Tuhan, semua itu bukan penentu. Semoleknya, jadikan situasi itu bekal diri menuju hari mati. Jika itu antara perasaan yang hadir dalam diri ketika berlaku sebarang kematian, tandanya kita masih bersisa sedikit kebaikan. Teruskan!

Tiga hari lalu, ramai yang terkesan dengan pemergian mengejut penghibur kesayangan ramai, Allahyarham Adibah Noor akibat kanser ovari tahap empat yang dirahsiakan daripada umum.

Bukan secara tiba-tiba rebah, namun tahap kesihatan pelantun Terlalu Istimewa itu sudah diketahui beberapa insan terpilih yang dipercayai sebagai pemegang amanah menjaga kerahsiaan penyakitnya.

Seperti menunggu waktu untuk dikongsikan, pemergian Adibah juga sekali gus membuka luahan kesedihan empati yang selama ini bergumam dalam dada kenalannya.

Sungguh, ramai yang cemburukan bahkan amat terkesan dengan ketabahan dan kesabaran Adibah menyimpan kemas dukalaranya.

Jika tidak, masakan pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias turut berasa tertampar, malu dengan Tuhan dan arwah melihatkan arwah mendiamkan sakit tetapi mempamerkan ceria di mana-mana, tidak seperti dirinya.

Mampukah kita setabah Adibah? Wallahuaklam. Tinggal lagi, percayalah setiap ujian didatangkan mengikut kemampuan kita.

Semoga roh insan-insan budiman yang diputuskan hubungan dengan dunia fana ini, termasuk Adibah diangkat bersama rahmat dan kasih sayang ke pangkuan Pencipta. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI