MONTREAL, Kanada – Pelumba Red Bull, Max Verstappen dilihat seolah-olah tidak dicabar selepas terus selesa mengukuhkan kedudukan teratas perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini apabila muncul juara di Grand Prix (GP) Kanada awal pagi semalam.
Pemandu berusia 24 tahun tersebut yang memulakan saingan di petak utama garang memulakan perlumbaan apabila mendominasi saingan itu meskipun mendapat tentangan daripada pelumba pasukan Ferrari, Carlos Sainz di penghujung perlumbaan.
Sainz yang dilihat berpeluang mengejar Verstappen terpaksa akur menamatkan saingan podium tempat kedua.
Hasil keputusan tersebut, Verstappen yang kini meraih enam kemenangan daripada sembilan pusingan perlumbaan melebarkan kelebihan 46 mata di puncak kategori pelumba selepas mengumpul 175 mata keseluruhan.
Rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang menduduki tangga kedua keseluruhan dan merupakan pencabar terdekatnya terpaksa menamatkan saingan lebih awal apabila jenteranya berdepan masalah.
“Saya memberikan segalanya pada perlumbaan hari ini, tetapi Sainz juga beraksi dengan cukup baik apabila cuba mengejar untuk kemenangan pada hari ini.
“Saya sangat gembira kerana berjaya meraih kemenangan di sini dan terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan yang terbaik sepanjang minggu ini,” katanya.
Sementara itu, Sainz mengakui berpuas hati dengan prestasinya kerana telah melakukan sebaik yang mungkin untuk muncul juara di Kanada.
“Saya akan ambil keputusan positif hari ini untuk bangkit menjelang perlumbaan seterusnya. Saya telah melakukan semampu yang boleh dan podium tempat kedua ini adalah yang terbaik buat pasukan,” ujarnya.
Juara dunia tujuh kali dari Mercedes, Lewis Hamilton yang sebelum ini mendakwa berdepan masalah dengan jentera berjaya menaiki podium tempat ketiga, manakala rakan sepasukannya, George Russell menamatkan saingan tempat keempat. – AGENSI