SELEPAS tiga single dengan penyanyi ikonik, Datuk M. Nasir menerusi lagu Zuhud, Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Datuk Jamal Abdillah (Neraca), kini duo hip-hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta menampilkan ‘persandingan’ vokal terbaharu bersama vokalis pop rock tanah air, Hazama menerusi lagu berjudul Makuta.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya dua penyanyi muda itu sememangnya memiliki mesej mendalam selain menggabungkan elemen hip-hop, rock dan elemen Nusantara.
Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata, penghasilan Makuta menitikberatkan gambaran dan amaran yang sudah mahupun bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar.
“Makuta yang bermaksud mahkota dalam bahasa Sunda mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian kita.
“Makuta juga menjurus kepada ketua, pengurus dan wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota dan kuasa tersendiri. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan makuta (mahkota) sebagai senjata kuasa veto.
“Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan ‘mahkota’ dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab, malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikutnya dengan kuasa ‘mahkota’ yang diamanahkan demi kepentingan sendiri.
“Jika dilihat daripada sudut wanita, ‘mahkota’ boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga, mampu menjadi senjata berbahaya atau membunuh jika digunakan dengan niat jahat,” katanya.
Makuta memberi cabaran tersendiri memandangkan tiga single terdahulu memberi impak besar kepada pendengar.
“Proses penulisan agak mencabar kerana sebelum ini kami sudah keluarkan tiga lagu yang memberi impak besar kepada pendengar dan secara tidak langsung memberi satu tekanan kepada kami untuk mengekalkan momentum karya.
“Namun kami percaya pendengar akan terus mengkaji setiap bait lirik yang disajikan dalam memahami dan menghayati apa pula rahsia di sebalik lirik lagu Makuta,” katanya.
Menyentuh mengenai kolaborasi dengan pelantun lagu Relakan Jiwa itu, Luca Sickta berkata, pemilihan Hazama diputuskan selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock yang dimiliki Hazama.
“Hazama seorang penyanyi yang sangat menjiwai setiap apa yang diamanahkan. Dia tahu apa itu seni lagu dan seperti yang semua tahu setiap lagu yang disampaikan Hazama menusuk kalbu. Saya juga melihat kehadiran Hazama sebagai seorang legenda muda.
“Hazama juga seorang penyanyi yang sangat kami hormati dengan bakat dan karakternya yang begitu bersahaja,” katanya.
Beralih mengenai cabaran penghasilan Makuta, Luca merancang pelancaran Makuta lebih awal, namun disebabkan pandemik segalanya bertukar.
“Demo pertama dirakam pada 2020 sebelum pandemik dan vokal Hazama dirakam pada pertengahan tahun lepas. Saya akui proses kali ini agak perlahan kerana pelancaran terpaksa ditangguhkan hampir dua tahun.
“Bagaimanapun berpeluang berkerjasama dengan penyanyi yang bersuara rock ini sangat menyeronokkan. Kami cuma perlukan satu sesi rakaman, walau konteks lagu ini agak serius tapi Hazama berjaya menghadam lirik lagu ini dengan cepat,” katanya.
Penghargaan
Muzik video (MV) Makuta juga masih mengekalkan produksi Cinema Malaya selepas kejayaan menghasilkan tiga MV terdahulu.
“Ini suatu penghargaan untuk berkolaborasi bersama dua penyanyi rap yang seperti Kmy Kmo dan Luca Sickta.
“Melihat kepada karya-karya dan pengalaman mereka bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri seni tanah air sebelum ini seperti M. Nasir, saya rasa kedua-dua rapper ini perlu diberi lebih perhatian.
“Saya berpendapat bahawa Makuta satu naskhah yang penuh berisi dan saya berikan sepenuh jiwa untuk menggalas tanggungjawab menyumbangkan suara dalam karya hebat ini agar sampai ke hati para pendengar,” kata Hazama.
Makuta kini boleh dinikmati dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan YouTube Music bermula 3 Jun, manakala MV Makita telah berlegar dalam YouTube KmyKmoOfficial sejak 10 Jun lalu.