KUANTAN – Empat remaja termasuk tiga beradik yang melarikan diri dari rumah kebajikan di Kampung Kempadang, di sini, ditemui berada di rumah bapa saudara mereka di Lorong Pak Mahat, Kampung Kempadang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, keempat-empat remaja terbabit dilaporkan lari dari rumah kebajikan berkenaan melalui pintu belakang kira-kira pukul 12.30 tengah malam, semalam.
“Kehilangan empat remaja berusia 13 hingga 15 tahun terbabit disedari penyelia asrama berusia 35 selepas dimaklumkan penghuni lain sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 5.07 petang, semalam,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, keempat remaja terbabit bertindak demikian dipercayai kerana dimarahi penyelia asrama kerana bermain telefon.
Beliau memberitahu empat remaja berkenaan berasal dari kampung sama di Pekan manakala tiga daripada mereka adalah adik beradik.
“Susulan daripada itu, hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Jenayah (URJ) telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Lorong Pak Mahat, Kampung Kempadang, di sini, iaitu rumah bapa saudara kepada remaja berkenaan kira-kira pukul 11 malam hari sama.
“Lelaki terbabit mengaku empat remaja berkenaan berada di rumahnya dan kesemua remaja itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE