LONDON – Penggempur Chelsea, Romelu Lukaku dijangka kembali ke San Siro untuk menyertai Inter Milan secara pinjaman dengan melengkapkan perpindahan dari Chelsea minggu ini.
Inter dan Chelsea sudah hampir mencapai kata putus mengenai yuran pinjaman berkenaan selepas meningkatkan tawaran dari £6 juta (RM32.29 juta) kepada £8.5 juta (RM45.75 juta).
Sebelum ini, Chelsea cuba menggunakan Lukaku sebagai umpan untuk mereka mengadakan rundingan bagi mendapatkan Milan Skriniar dan Denzel Dumfries, namun mengubah pendirian apabila perbincangan hanya menjurus kepada usaha mereka melepaskan penyerang Belgium berkenaan.
Campur tangan daripada pemilik baharu, Todd Boehly yang menyakinan pihak pengurusan Chelsea untuk melepaskan Lukaku yang bersungguh-sungguh untuk ke San Siro menjadikan urusan berkenaan lebih mudah.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel juga dilaporkan sudah bersetuju untuk melepaskan Lukaku ketika beliau merancang untuk mendapatkan khidmat Raheem Sterling dari Manchester City.
Selain itu, Chelsea juga dilaporkan sedang mengintai peluang untuk membawa masuk penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski serta beberapa nama lain seperti, Christopher Nkunku dan Ousmane Dembele juga turut menjadi pilihan.
Bagaimanapun, posisi pertahanan menjadi keutamaan Tuchel ketika dua pemain tonggak, Cesar Azpilicueta dan Marcos Alonso hampir pasti meninggalkan Stamford Bridge.
Mereka menamakan, pemain Brighton, Marc Cucurella, Sergino Dest dari Barcelona dan pemain Wolverhampton Wanderers, Rayan Ait-Nouri sebagai antara pemain yang akan diberikan perhatian. – AGENSI