PETALING JAYA – Penyanyi Daniesh Suffian berpuas hati selepas meraih tempat keempat dalam Kejohanan Gusti Lengan Asia (Asia Arm Wrestling Championships) yang diadakan di pusat beli-belah Paradigm Mall, di sini, semalam.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Mahligai itu terpaksa akur selepas tewas kepada peserta dari India sewaktu pertandingan peringkat separuh akhir untuk penentuan kedudukan tempat ketiga bagi kategori bawah 70 kilogram.
Daniesh, 23, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, kejohanan tersebut merupakan pertandingan peringkat antarabangsa pertama yang disertai sejak bergiat aktif dalam sukan gusti lengan sekitar setahun lalu.
“Kejohanan semalam merupakan pengalaman pertama saya bertanding di peringkat antarabangsa (Asia).
“Alhamdulillah, walaupun mendapat tempat keempat, saya berpuas hati dan mengakui kehebatan peserta-peserta lain,” ujarnya.
Ujar bekas peserta program Vokal Mania kelahiran Sabah itu, dia diberi galakan oleh Persatuan Sukan Gusti Lengan Malaysia untuk bergiat aktif dalam sukan tersebut secara serius.
“Saya tidak menyangka boleh pergi sejauh ini (tempat keempat). Tapi bila berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada peserta dari India.
“Insya-Allah saya akan sertai satu lagi kejohanan peringkat kebangsaan dalam masa terdekat dan berharap dapat membawa pulang kejayaan dalam pertandingan itu nanti,” katanya.
Mula berjinak-jinak dengan sukan gusti lengan sejak di bangku sekolah menengah, Daniesh berkata, sukan gusti lengan memerlukan bukan sahaja ketahanan daripada segi fizikal (lengan), bahkan juga mental untuk mengalahkan pihak lawan.
“Saya banyak diberi tunjuk ajak oleh pasukan gusti lengan Malaysia tentang teknik-teknik yang betul ketika melawan pesaing. Sukan ini juga sebenarnya seronok untuk disertai anak muda,” katanya.
Selain Malaysia, Kejohanan Gusti Lengan Asia yang berlangsung semalam itu turut disertai peserta dari Singapura, India, Vietnam, Korea dan China.
Johan dan naib johan masing-masing diraih oleh peserta dari Singapura, manakala peserta India menduduki tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE