TULAR dalam Twitter apabila pelakon Zendaya dikhabarkan kini sedang hamil bayi kekasihnya yang juga aktor, Tom Holland.
Berita tersebut bukan sahaja membuatkan peminat kedua-dua pelakon itu terkejut, malah Zendaya dan juga Holland sendiri ‘garu kepala’ tentang khabar angin tersebut.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya baru-baru ini, aktres berusia 25 tahun itu menafikan dirinya kini sedang berbadan dua dan terkejut dengan penyebaran berita palsu berkenaan.
Kata Zendaya, dirinya sudah lama menjauhi media sosial termasuk Twitter dan terkejut apabila berita yang mendakwa dirinya sedang hamil menjadi ‘trending’ di seluruh dunia.
“Lihat sekarang. Ini sebabnya saya menjauhkan diri dari Twitter. Saya rimas dengan berita palsu yang sengaja direka,” ujarnya.
Enggan mengambil pusing tentang berita ‘hamil’ itu, Zendaya memilih untuk memberi fokus terhadap penggambaran filem terbaharunya berjudul Challengers.