PETALING JAYA – Buat pertama kali, negara tidak merekodkan kes kematian akibat Covid-19 semalam di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kali terakhir Malaysia mencatatkan sifar kematian akibat Covid-19 adalah pada 18 Disember 2020.
“Hari ini (19 Jun) untuk pertama kali sejak 18 Disember 2020, Malaysia melaporkan sifar kematian akibat Covid-19.
“Peralihan berterusan kita kepada fasa endemik ditentu ukur oleh data. Justeru, bersama-samalah kita berdoa agar ia membuahkan hasil,” katanya ringkas pada hantaran Twitter malam tadi.
Media melaporkan, kali pertama Malaysia mencatatkan kematian Covid-19 adalah pada 17 Mac 2020.
Berdasarkan angka terkini pada laman web CovidNow, sebanyak 35,732 kes kematian dilaporkan dengan 7,579 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-death (BID). -KOSMO! ONLINE